Kenyataan ini menjadi asas penting memahami kedudukan kecantikan dan solekan dalam Islam.
Berhias bukanlah sesuatu yang dilarang, namun ia perlu disertai dengan adab, niat yang betul serta batas yang ditetapkan syariat.
Wanita dan kecantikan sememangnya sukar dipisahkan. Sejak dahulu lagi, kecantikan menjadi sebahagian daripada fitrah wanita.
Namun dalam kalangan Muslimah hari ini, sering timbul persoalan di manakah had yang perlu dijaga?
Hakikatnya, Islam tidak pernah menolak kecantikan. Bahkan, Allah SWT menyukai keindahan dan kebersihan.
Kedua-dua nilai ini bukan sahaja dibenarkan, malah digalakkan kerana ia mencerminkan keperibadian, disiplin serta maruah seorang Muslimah.
Namun, kecantikan yang diraikan Islam ialah kecantikan yang seimbang, sederhana dan tidak berlebihan.
Kata Ustazah Azila, solekan mata yang terlalu tebal atau dandanan yang menonjol sehingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk dalam kategori tabarruj.
Begitu juga dengan trend pemakaian tudung yang menyerupai gaya rambut sehingga menafikan tujuan asal menutup aurat tidak selari dengan syariat.
Kesederhanaan bukan hanya terhad pada solekan wajah, malah merangkumi keseluruhan penampilan termasuk cara berpakaian dan pemakaian tudung.
Penampilan Muslimah seharusnya kemas, sopan dan tidak bertujuan untuk memikat pandangan.
Kecantikan bukan sekadar fizikal
Kecantikan sebenar tidak seharusnya diukur hanya melalui rupa paras atau bentuk badan ideal seperti yang sering dipaparkan dalam media.
“Kecantikan menurut Islam dan fitrah lelaki jauh lebih luas. Ia merangkumi adab, akhlak dan cara seseorang membawa diri,” katanya kepada Muslimah.
Lelaki dan wanita mempunyai fitrah yang berbeza.
Perkara yang dirasakan biasa oleh wanita sesama wanita, boleh menjadi tarikan kepada lelaki.
Oleh itu, wanita perlu lebih berhati-hati dalam pergerakan, percakapan dan penampilan agar tidak menimbulkan fitnah.
Dalam Islam, setiap amalan dinilai berdasarkan niat, termasuk soal bersolek.
Solekan boleh menjadi ibadah dan mendatangkan pahala jika diniatkan untuk berhias di hadapan suami.
Namun, jika niatnya untuk menunjuk-nunjuk, memikat pandangan atau menarik perhatian orang lain, maka ia boleh menjadi satu kesalahan.
Prinsip yang sama turut terpakai dalam penggunaan wangian. Memakai wangian dibenarkan, tetapi tidak boleh baunya terlalu kuat dan mengganggu orang sekeliling.
“Solekan juga dibenarkan jika tujuannya untuk kebersihan diri, keselesaan dan menutup kekurangan seperti jerawat, parut atau cela pada wajah yang boleh menjejaskan keyakinan diri,” katanya.
Namun, ia tidak boleh sampai mengubah rupa asal seseorang secara drastik sehingga kelihatan seperti orang lain.
Selain itu, bahan solekan yang digunakan mestilah halal dan suci.
Solekan juga tidak boleh menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit.
Oleh itu, wanita perlu membersihkan solekan sebelum solat. Jadi, pilihlah produk solekan yang mudah supaya mudah mengambil wuduk.
Nilai kesederhanaan
Ustazah Azila menasihatkan wanita tidak hanya menilai kesederhanaan berdasarkan pandangan sendiri.
Perkara yang dirasakan sederhana pada diri sendiri, mungkin sebenarnya berlebihan pada pandangan orang lain.
Oleh itu, dapatkan pandangan orang berilmu dan dipercayai.
Bagi wanita yang sudah berkahwin, suami adalah individu paling sesuai untuk diminta pendapat dengan syarat suami juga mempunyai ilmu agama.
Reaksi orang sekeliling juga boleh dijadikan kayu ukur. Jika pandangan sering tertumpu atau orang lain kelihatan tidak selesa, itu petanda solekan atau wangian perlu dikurangkan.
Kesimpulannya, solekan dalam Islam bukan untuk menafikan kecantikan wanita, tetapi untuk mendidik agar kecantikan diraikan dengan adab, niat yang betul dan batas yang jelas.
“Kecantikan yang dijaga mengikut syariat bukan sahaja menenangkan hati, malah memelihara maruah dan kehormatan seorang Muslimah,” katanya menutup bicara.-Muslimah