Ramai ibu mesti pernah berada dalam dilema tiap kali tibanya Ramadan.
Mahu berpuasa, namun dalam masa yang sama risau kesihatan bayi dalam kandungan atau anak yang sedang disusukan.
Perasaan bersalah sering menghantui apabila terpaksa berbuka puasa di awal waktu. Ada yang tertanya-tanya, adakah mereka berdosa? Perlukah membayar fidyah atau cukup sekadar menggantikan puasa?
Ketua Pegawai Eksekutif Harapan Hati Malaysia, Ustazah Dr. Nur Fatin Halil berkata, Islam memberi keringanan khusus bagi wanita dalam situasi ini, bergantung kepada sebab seseorang tidak berpuasa.
“Jika seorang wanita berbuka kerana bimbang keselamatan diri sendiri sahaja, contohnya terlalu lemah atau tidak sihat, dia hanya perlu menggantikan puasa apabila sudah mampu dan tidak perlu membayar fidyah,” katanya kepada Muslimah.
Namun, jika kebimbangan melibatkan bayi dalam kandungan atau anak yang disusu, misalnya risau bekalan susu berkurang atau bayi terjejas, wanita tersebut perlu menggantikan puasa dan membayar fidyah.
Jika kebimbangan melibatkan kedua-dua faktor, iaitu diri sendiri dan bayi, wanita tersebut hanya perlu qada puasa tanpa fidyah.
Penjelasan ini selari dengan pandangan pihak mufti yang menganggap wanita hamil dan menyusu sebagai golongan yang mempunyai uzur syarie.
Mereka dibenarkan berbuka puasa, namun tetap wajib menggantikan puasa tersebut apabila keadaan mengizinkan.
“Dalam tempoh masih berada dalam uzur, kelewatan mengganti puasa tidak dianggap berdosa,” katanya.
Ustazah Dr. Nur Fatin turut menyarankan agar ibu hamil atau menyusu mencuba berpuasa terlebih dahulu sekiranya mampu.
Namun, jika keadaan boleh memudaratkan diri atau bayi, mereka dibenarkan berbuka berdasarkan keringanan yang disebut dalam al-Quran, khususnya bagi yang sakit atau tidak berupaya.
Tambahnya, fidyah bukanlah pengganti kepada puasa qada bagi wanita yang masih berupaya berpuasa di kemudian hari.
“Fidyah hanyalah pampasan dalam keadaan tertentu, manakala hutang puasa tetap perlu diselesaikan apabila seseorang sudah mampu,” katanya.
Bagi memudahkan urusan, fidyah boleh dikira melalui laman Jabatan Agama atau Pejabat Zakat yang menyediakan Kalkulator Fidyah.
Namun, jika puasa tertunggak bertahun-tahun, fidyah boleh digandakan mengikut ketetapan negeri masing-masing, bergantung kepada kemampuan individu.-Muslimah