Gaya hijab ikut bentuk wajah

Setiap wanita pasti pernah mencuba pelbagai gaya tudung, tetapi kadangkala wajah masih kelihatan janggal. 

Sebenarnya, bukan semua gaya sesuai untuk setiap bentuk wajah. 

Kenal pasti dahulu bentuk wajah supaya tudung boleh menyerlahkan raut wajah, menambah keserasian dan keyakinan diri.

1. Muka bujur

Bentuk muka bujur mempunyai keseimbangan yang cantik antara dahi, tulang pipi dan rahang dengan dagu yang sedikit runcing. Panjang wajah biasanya lebih sedikit lebih daripada lebarnya, menjadikan bentuk ini kelihatan seimbang dari pelbagai sudut.

Bagi wanita yang memiliki wajah bujur sering dianggap paling ‘bertuah’ kerana hampir semua gaya tudung sesuai digayakan. Sama ada tudung bawal atau selendang, semuanya akan terletak cantik tanpa mengubah struktur asal wajah.

Namun, elakkan tudung yang terlalu ketat di bahagian muka atau awning yang terlalu kecil kerana boleh membuatkan wajah kelihatan sempit. Gaya selendang yang digayakan longgar dan jatuh semula jadi di pipi, tudung bawal lipat ringkas untuk gaya kasual atau selendang beralun dengan lipatan minimum sangat sesuai menyerlahkan wajah bujur.

2. Muka Bulat 


Wajah bulat biasanya mempunyai ciri lebar dan panjang yang hampir sama, pipi yang penuh serta garis rahang lembut tanpa sudut yang jelas.

Bagi pemilik wajah bulat, pemilihan gaya tudung perlu memberi ilusi wajah yang lebih panjang dan tirus. Elakkan tudung yang terlalu melekap di pipi atau ditarik rapat ke dahi kerana ia akan menyerlahkan lagi bentuk bulat wajah.

Biarkan sedikit ruang di bahagian dahi dan pipi untuk mencipta keseimbangan visual. Antara gaya yang sesuai ialah selendang digayakan secara longgar dengan awning lembut.

Boleh juga cuba gaya side drape di mana tudung jatuh ke sebelah pipi, serta tudung bawal dengan lipatan lebih tinggi di bahagian atas dahi bagi memberi kesan wajah lebih panjang.

3.Muka lonjong 

Bentuk muka lonjong dicirikan oleh wajah yang lebih panjang berbanding lebarnya, dengan dahi yang kelihatan agak tinggi serta dagu yang memanjang ke bawah.

Bagi wajah lonjong, teknik penggayaan tudung sangat penting untuk mengurangkan ilusi wajah yang terlalu panjang. Tudung boleh digayakan sedikit rapat ke dahi sambil membiarkan bahagian pipi kelihatan lebih berisi agar wajah lebih nampak seimbang.

Elakkan gaya tudung yang terlalu panjang dan jatuh lurus kerana ia akan menambah kesan memanjang. Selendang berlapis, lipatan lembut di pipi atau tudung sarung dengan awning sederhana hingga lebar lebih sesuai berbanding tudung bawal berawning kecil.

4. Muka petak/segi empat

Bagi wanita yang mempunyai wajah segi empat, ciri-ciri wajah termasuk rahang yang jelas dan tegas dengan ukuran dahi, pipi dan rahang yang hampir sama. Oleh itu, gaya tudung yang dipilih sebaiknya membantu melembutkan struktur wajah.

Bagi melembutkan struktur wajah, elakkan gaya tudung berawning tajam atau terlalu berlapik kerana akan menonjolkan lagi bentuk petak wajah. Sebaliknya, pilih gaya tudung yang longgar dan jatuh lembut, sedikit menutupi bahagian rahang untuk mengurangkan ketegasan garis wajah.

Gaya shawl dengan lipatan lembut di pipi, bawal berawning bulat, atau gaya separa longgar menggunakan selendang merupakan pilihan terbaik untuk mencipta keseimbangan wajah.

5. Bentuk berlian

Wajah bentuk berlian (diamond) dicirikan oleh tulang pipi yang lebih lebar, manakala dahi dan dagu lebih tirus dengan struktur wajah yang jelas.

Bentuk muka ini sememangnya unik dan menarik, cukup dengan penggayaan hijab yang ringkas.

Pilih tudung yang menutup sedikit bahagian tulang pipi dan dahi supaya wajah kelihatan lebih seimbang dan lembut.

 

Elakkan gaya yang terlalu sarat atau berlebihan kerana boleh menonjolkan tulang pipi secara keterlaluan. 

Antara gaya yang sesuai termasuk selendang yang jatuh lembut menutupi tulang pipi, gaya separa longgar, selendang melekap dengan lipatan di sebelah atau tudung bawal yang digayakan secara ringkas dan kemas.