Material pakaian yang dipakai setiap hari sebenarnya memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada badan kekal segar atau sebaliknya.
Ramai beranggapan bau badan hanya berpunca daripada kebersihan diri. Hakikatnya, pemilihan fabrik yang kurang sesuai terutama kain yang memerangkap peluh dan tidak memberi pengudaraan kepada kulit boleh menjadi punca utama bau tidak menyenangkan.
Bayangkan, walaupun sudah mandi dan menggunakan deodoran, bau badan tetap muncul sebaik sahaja memulakan aktiviti harian. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan diri, malah boleh membataskan penampilan, terutamanya apabila digayakan dalam cuaca panas dan lembap.
Berikut adalah antara jenis kain yang perlu diberi perhatian.
1. Poliester
Poliester merupakan bahan sintetik yang kurang menyerap peluh dan cenderung menahan kelembapan sekali gus menggalakkan pertumbuhan bakteria yang menjadi punca bau badan. Kain ini dihasilkan daripada serat berasaskan petroleum yang boleh menyimpan bahan kimia dan asid tertentu. Gabungan peluh dan bakteria pada fabrik ini sering menghasilkan bau yang kurang menyenangkan, terutama apabila dipakai dalam tempoh lama.
2. Berbulu (Wool)
Fabrik wool sering digunakan dalam pakaian seperti baju kait (knitwear dan kardigan. Namun, teksturnya yang tebal menjadikannya mudah lembap apabila berpeluh. Selain lambat kering, wool juga berisiko memerangkap bau jika digayakan dalam cuaca panas atau tidak sesuai dengan persekitaran.
3. Nilon
Nilon ialah bahan sintetik yang ringan dan kerap digunakan untuk jaket atau pakaian sukan. Walaupun kuat dan anjal, nilon tidak menyerap peluh dengan baik. Peluh yang terperangkap menyebabkan kulit terasa panas dan lembap, sekali gus meningkatkan risiko bau badan menjadi lebih kuat.
4. Rayon
Rayon tergolong sebagai fabrik separa sintetik. Walaupun mampu menyerap kelembapan, peluh cenderung terperangkap di dalam serat kain ini. Akibatnya, bau badan boleh muncul dengan lebih cepat, terutamanya apabila pakaian dipakai dalam tempoh yang lama atau semasa aktiviti aktif.
5. Tekstur berkedut (crinkle)
Fabrik dengan tekstur berkedut lazimnya diperbuat daripada campuran bahan sintetik seperti poliester. Ia tidak menyerap peluh dengan baik dan mempunyai tekstur yang agak keras serta kurang berpori. Peluh yang kekal di permukaan kulit akan mempercepatkan pembentukan bau badan.
6. Satin Clarissa
Tidak semua fabrik satin memberikan kesan sejuk dan selesa. Satin berkualiti tinggi seperti satin sutera, satin velvet dan satin damask biasanya lembut dan sejuk di kulit.
Namun, Satin Clarissa mempunyai tekstur yang lebih tebal, kaku dan kurang menyerap peluh, menjadikannya kurang sesuai dipakai dalam cuaca panas.
Solusi mengurangkan masalah bau badan
Bagi mengelakkan masalah bau badan, beberapa langkah boleh diambil dengan bermula daripada pemilihan pakaian yang sesuai.
Fabrik yang lebih bernafas seperti kapas, linen atau buluh (bamboo) disarankan kerana ia mampu menyerap peluh dengan lebih baik serta membantu kulit kekal kering sepanjang hari.
Selain itu, pakaian perlu dicuci dengan cara yang betul bagi menghapuskan bakteria dan bau yang mungkin melekat pada serat kain, terutamanya pakaian yang kerap dipakai atau digunakan semasa aktiviti lasak.
Elakkan menggayakan pakaian yang terlalu ketat kerana boleh meningkatkan pengeluaran peluh dan menyebabkan kelembapan terperangkap pada kulit.
Secara keseluruhannya, pemilihan pakaian yang tepat bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah berperanan penting dalam mengekalkan keyakinan diri sepanjang hari.-Muslimah