Doa ‘booster’ untuk hati yang resah

Pernahkan anda bangun pagi dan rasa bebanan dunia seolah-olah terletak di atas bahu? 

Biarpun sudah mendapat tidur yang cukup lapan jam, badan masih terasa lesu, fikiran bercelaru dan semangat untuk melangkah ke tempat kerja seakan mati.

Jika ini situasi anda, barangkali yang letih bukannya fizikal tetapi tenaga spiritual yang kian menyusut. 

Dalam kerancakan mengejar KPI dan tuntutan kehidupan kota, aspek pengisian jiwa sering kali dipandang sepi sedangkan itulah ‘enjin’ utama penggerak manusia.

Keletihan spiritual tidak boleh diubat dengan secawan kopi pekat atau percutian mewah di pulau peranginan. 

Hal ini dikaitkan dengan jiwa kehilangan arah dan sambungan dengan Pencipta menjadi longgar.

Apabila tenaga ini merosot, individu cepat marah, hilang fokus dan paling membimbangkan, mula mempersoalkan nilai keberadaan diri sendiri. 

Membiarkan jiwa terus kosong tanpa pengisian ibarat memandu kenderaan dengan tangki minyak yang kosong dan akhirnya akan tersadai di tepi jalan kehidupan.

Formula motivasi diri

Peruntukan sekurang-kurangnya 10 minit sehari tanpa gajet. Duduk di atas sejadah atau di sudut yang tenang. Fokus pada nafas dan rasai kehadiran Allah dalam setiap denyut nadi.

Tukar naratif kerja daripada “Aku perlu selesaikan laporan ini,” kepada “Aku bekerja untuk memberi manfaat kepada orang lain demi keredaan-Nya.” 

Perubahan kecil pada niat ini akan memberikan impak besar pada tenaga dalaman.

Amalkan bacaan zikir sebagai frekuensi yang menenangkan gelombang otak dan menyusun semula kekusutan jiwa.

Amal doa memohon pertolongan

Bagi yang sentiasa sibuk, jangan biarkan lisan kering daripada memohon kekuatan. 

Amalkan doa ringkas yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ini untuk memulihkan semangat:

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِيَ كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Ya Hayyu Ya Qayyum, bi rahmatika astaghith, aslih li sha’ni kullahu, wala takilni ila nafsi tarfata ‘ain.”

Maksudnya: Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

Doa ini adalah booster terbaik yang bukan sekadar meminta untuk urusan dipermudahkan tetapi memohon agar kita tidak dibiarkan sendirian mengemudi cabaran hidup.

Imam Tirmidhi RA telah meriwayatkan hadis ini daripada Anas ibn Malik RA.

Anas ibn Malik RA berkata: “Apabila sesuatu perkara menimpa Nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wa sallam), Baginda akan membaca:

 ‘Ya Hayyu Ya Qayyumu bi Rahmatika astaghith.’”- (Sunan Tirmidzi, Hadis 3524)

Hidup yang berkualiti bukan hanya terletak pada gaya penampilan yang sofistikated tetapi pada keteguhan spiritual yang memancar dari dalam. 

Apabila ‘bateri’ jiwa penuh, segala cabaran yang mendatang akan dapat dihadapi dengan senyuman dan hati yang lapang.-Muslimah