Mula-mula malas bekerja, kemudian nafkah pula tenggelam timbul.
Sedikit demi sedikit, beban kewangan rumah tangga beralih ke bahu isteri.
Duit isteri pula yang dikerah, dipinjam tanpa henti. Isteri pula atas dasar taat terus memberi walaupun hati sendiri menanggung derita yang tidak terperi.
Tidak cukup dengan itu, dipujuk dan dipaksa pula isteri membuat pinjaman peribadi atas nama si isteri untuk kegunaan si suami.
Apabila rumah tangga dilanda badai, si isteri ditinggalkan terkontang-kanting bersama hutang yang perlu dilangsaikan.
Inilah realiti pahit yang dikongsikan oleh Peguam Syarie, Syazamee Sapia, mengenai wanita yang terperangkap dalam perkahwinan bersama suami ‘biawak hidup’.
Kata Syazamee, istilah ‘biawak hidup’ lazimnya merujuk kepada suami yang mengambil kesempatan dengan mengabaikan tanggungjawab nafkah walaupun berkemampuan.
“Fokus sering diberikan kepada lelaki kerana kebanyakan kes yang ditemui melibatkan suami.
“Antara ciri utama ialah enggan bekerja walaupun berkeupayaan, malah ada yang menolak peluang pekerjaan dengan alasan gaji rendah, kerja susah atau tidak sesuai,” katanya kepada Muslimah.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan isteri terpaksa menanggung sepenuhnya perbelanjaan rumah tangga, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan tekanan berkaitan soal nafkah.
Tambahnya, memaksa isteri membuat pinjaman tanpa perbincangan dan perancangan yang jelas boleh dianggap sebagai satu bentuk penganiayaan.
Justeru, wanita yang sedang berdepan dengan isu seperti ini perlu segera menetapkan batas supaya tidak diambil kesempatan.
Lebih-lebih lagi hak isteri dilindungi oleh hukum syarak dan undang-undang terutamanya melibatkan nafkah.
Nafkah isteri merupakan kewajipan suami sepanjang tempoh perkahwinan. Sekiranya gagal ditunaikan, isteri berhak menuntut tunggakan nafkah walaupun selepas bertahun-tahun berkahwin.
“Ramai isteri berasa malu atau takut untuk menuntut hak mereka, sedangkan undang-undang jelas memberi perlindungan. Nafkah bukan isu kecil, ia adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Berbeza dengan nafkah anak yang memerlukan perintah mahkamah untuk penguatkuasaan, tunggakan nafkah isteri boleh dituntut walaupun selepas perceraian.
Isteri hanya perlu membuktikan perbelanjaan yang ditanggung serta kemampuan suami untuk memberi nafkah.
Dalam era transaksi tanpa tunai, rekod digital seperti penyata bank juga boleh dijadikan bukti sokongan di mahkamah.
“Sekarang ini, rekod digital banyak membantu. Isteri tidak perlu risau jika tidak menyimpan resit fizikal kerana penyata bank sudah memadai sebagai bukti,” katanya.
Islam sebenarnya telah menyediakan perlindungan kepada isteri melalui taklik nikah, sebagai peringatan soal nafkah bukan perkara remeh dalam perkahwinan.
Kata Syazamee, apabila suami menunaikan tanggungjawab dengan amanah, kasih sayang, rasa hormat dan ketaatan isteri akan menunaikan tanggungjawab secara rela, tanpa paksaan atau ugutan.
“Rumah tangga yang sihat tidak dibina atas tekanan atau arahan. Ia terhasil apabila kedua-dua pihak sedar dan bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing,” katanya.
Jika nafkah diabaikan, bukan sahaja membebankan isteri daripada segi kewangan dan emosi, malah menjejaskan tujuan sebenar perkahwinan.
Isteri yang berdepan situasi ‘biawak hidup’ tidak perlu berasa malu atau takut untuk mempertahankan hak.
“Isu ini bukan sekadar aib peribadi, sebaliknya realiti sosial yang semakin kerap berlaku dan perlu dibincangkan secara jujur.
“Islam dan undang-undang menyediakan jalan keluar yang adil dan hak isteri bukan untuk dipinta, tetapi untuk dituntut dengan bermaruah,” katanya.
Tanda awal suami ‘red flag’
Tidak semua masalah rumah tangga dapat dikesan sejak awal perkahwinan. Namun, terdapat beberapa petunjuk yang boleh menunjukkan seorang suami berpotensi menjadi ‘biawak hidup’.
Isu ini kebiasaannya bermula apabila tanggungjawab kewangan tidak ditunaikan secara konsisten, walaupun suami mempunyai kemampuan.
“Bantuan yang diberikan oleh isteri sepatutnya atas dasar ihsan. Ia tidak sepatutnya bertukar menjadi kewajipan sehingga semua tanggungjawab kewangan dipikul seorang diri,” katanya.
Selain itu, komunikasi yang matang dan perbincangan secara telus kunci utama mengelakkan konflik serta beban kewangan yang berpanjangan.
“Masalah utama dalam rumah tangga ialah kegagalan berkomunikasi secara sihat.
“Hubungan akhirnya hanya dipenuhi arahan dan permintaan, tanpa ruang perbincangan yang adil,” katanya.