Pengorbanan Hasnah hingga bergelar Hakim Besar Malaya

Tan Sri Hasnah Mohamed Hashim dikenali sebagai seorang tokoh kehakiman yang berwibawa dan teliti.

Figura ini pernah memegang jawatan sebagai Hakim Besar Malaya, mengetuai pentadbiran kehakiman dengan integriti tinggi.

Beliau bukan sahaja terkenal  kerana kepakaran undang-undangnya, tetapi juga kerana dedikasi dalam membimbing generasi muda peguam dan hakim untuk menegakkan keadilan secara adil dan berhemah.

Ketegasan menjadi perisai seorang hakim

Perjalanan sebagai seorang pegawai undang-undang bukanlah sekadar menandatangani dokumen atau menghadiri mesyuarat.

Bagi wanita berusia 66 tahun ini, ia sebuah pengembaraan yang penuh cabaran, di mana setiap langkah menuntut dedikasi dan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya.

“Sejak awal menjejakkan kaki ke dunia kerja, saya tiada pilihan untuk menetapkan masa sendiri atau memilih penempatan.

“Saya sering dipindahkan dari satu kementerian ke kementerian lain. Setiap perpindahan hadir dengan cabaran tersendiri, suasana kerja yang berbeza dan tanggungjawab berat,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, setiap hari beliau perlu fokus kes-kes dan dokumen penting.

Adakala, jam menunjukkan pukul tiga pagi, namun beliau masih menatap fail yang perlu disiapkan, sebelum keesokan harinya kembali memulakan rutin seawal pagi.

Ada hari beliau hanya sempat menjamah sedikit makanan, menangguhkan perut yang lapar demi menyiapkan kes dengan segera.

Kes pertama penuh emosi

Antara kenangan paling mendalam yang tetap terpatri dalam lubuk hatinya ialah kes pertama yang pernah dikendalikannya.

Satu tragedi memilukan melibatkan pembunuhan seorang bayi oleh ibu kandungnya sendiri.

Akuinya, saat bukti dipaparkan di mahkamah, termasuk gambar kecederaan si kecil yang tidak berdosa itu, hatinya hampir rebah.

Air mata yang ditahan terasa ingin gugur kerana tidak sanggup melihat kekejaman sedemikian.

“Sebagai seorang wanita yang pernah berjuang selama lapan tahun untuk mendapatkan cahaya mata, saya benar-benar tidak mampu memahami bagaimana seorang ibu sanggup melakukan perkara begitu terhadap anaknya sendiri.

“Pada waktu itu, saya terpaksa melawan rasa marah, sedih dan kecewa demi memastikan keputusan yang dibuat tetap adil,” luahnya dengan suara perlahan.

Kes tragis itulah yang menjadi titik tolak perjalanan hidupnya sebagai seorang hakim, mengajarnya tugasnya bukan sekadar membaca undang-undang, tetapi juga memikul derita, beban dan kisah gelap manusia di sebaliknya.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah mengendalikan pelbagai kes besar negara, termasuk kes melibatkan ahli politik.

Namun, tidak pernah sekalipun beliau merasa bangga mahupun mendabik dada dengan jawatan yang disandang.

Baginya, menjadi seorang hakim bukan tentang kuasa. Ia tentang hati yang teguh, jiwa yang sabar dan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat membawa kesan kepada kehidupan manusia.

Tegas, namun berjiwa lembut

Bagi yang pernah mengenalinya ketika masih berkhidmat di mahkamah, ramai mengakui sedikit gentar apabila berdepan dengannya.

Ketegasan dan ketelitian beliau dalam setiap keputusan menjadikan figura ini tampak sukar didekati.

Namun, sikap tegas itu bukanlah dibuat-buat. Sebaliknya, ia perlu sebagai benteng agar tiada siapa mengambil kesempatan terhadap jawatan dan tanggungjawab berat yang dipikulnya.

Menariknya, di luar mahkamah, peribadinya jauh berbeza.

Beliau sebenarnya seorang wanita berhati lembut, mudah tersenyum dan pandai berjenaka.

Tidak hairanlah dirinya disenangi sesiapa sahaja, baik keluarga mahupun rakan-rakan rapat.

Selain itu, beliau juga mempunyai minat mendalam dalam dunia masakan.

Daripada lauk-pauk Melayu, hinggalah hidangan barat, semuanya mampu disiapkannya dengan penuh kasih sayang.

Baginya, memasak adalah terapi untuk melarikan diri seketika daripada dunia penuh tekanan dan kes-kes berat yang menghimpit minda.

Lebih menarik, di sebalik ketegasan dan profesionalismanya, tersimpan jiwa muda yang ceria.

Beliau mengakui meminati lagu-lagu artis antarabangsa seperti Bruno Mars, Taylor Swift dan Harry Styles.

Katanya, selera muziknya yang seiring dengan minat anak-anak membuatkannya mudah berasa dekat dan serasi bersama.

Terus menabur bakti

Tanggal 14 November 2025 menjadi detik bersejarah dalam kamus hidupnya.

Beliau secara rasminya bersara selepas lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia kehakiman.

Namun baginya, persaraan bukanlah noktah. Ia bukan tanda berundur daripada dunia undang-undang yang begitu sebati dengan jiwanya. Sebaliknya, inilah permulaan fasa baharu.

Fasa untuk terus menyumbang, berkongsi pengalaman dan menabur bakti kepada generasi muda yang sedang meniti jalan dalam bidang perundangan.

Beliau sering diundang oleh Universiti Malaya (UM)serta beberapa institusi lain untuk memberi ceramah dan berkongsi ilmu.

Setiap kali berada di depan para pelajar, memorinya seakan terimbau kembali ke masa silam ketika beliau sendiri bergelar mahasiswa undang-undang.

Beliau tersenyum saat mengenang insan-insan yang pernah banyak membantunya dahulu.

Antaranya, tokoh seni negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Katanya, Sudirman bukan sahaja menyuntik dorongan akademik, malah turut berkongsi pengalaman hidup yang membina keyakinan dirinya dan rakan-rakan lain.

Baginya, ilmu tidak hanya datang daripada pensyarah, ia juga tercurah daripada pengalaman dan perkongsian manusia di sekeliling kita.

Sepanjang kerjayanya, beliau menyaksikan sendiri para peguam muda yang pernah mendapat tunjuk ajarnya berkembang menjadi individu yang cekap, profesional dan berintegriti.

Itu sudah cukup membuatkan hatinya bangga.

Baginya, itulah sebenar-benar kepuasan apabila melihat ilmu yang pernah dicurah menjadi bekal untuk generasi baharu menguruskan kes dengan penuh adil, beretika dan berjiwa kemanusiaan.

Ibu yang komited

Walaupun terikat dengan tugas yang berat dan penuh tekanan, anak kelahiran Pahang ini tidak pernah mengetepikan peranan sebagai seorang ibu.

“Pulang lewat hampir setiap hari bukan alasan untuk saya mengabaikan anak-anak.

“Walau sesibuk mana sekalipun, walau ada yang sedang sakit, mereka tetap menjadi keutamaan,” ujarnya penuh ketegasan seorang ibu.

Dalam ceritanya, beliau mengimbas kembali satu detik yang cukup menduga hati seorang wanita bekerja.

Salah seorang anaknya pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan asma.

Tanpa berfikir panjang, beliau memilih untuk menguruskan kedua-duanya sekaligus kerja dan anak dari wad hospital.

Di situlah beliau menyiapkan tugasan, sambil memantau pernafasan si kecil di sisi katil.

Ada masanya, ketika beliau ditugaskan ke luar negara, anak-anak akan mencarinya hanya untuk bertanya hal kecil seperti di mana alat tulis atau buku mereka.

Soalan-soalan kecil yang hanya seorang ibu tahu jawapannya membuatkan dirinya sedar betapa kuatnya kebergantungan mereka pada dirinya, walaupun beliau sering berada jauh kerana tuntutan tugas.

Atas segala cabaran itu, beliau sentiasa menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami perjalanan kerjayanya dari seorang pegawai undang-undang sehinggalah bergelar hakim.

Sokongan dan kefahaman suamilah yang menjadi tulang belakangnya untuk terus menjalankan amanah berat, tanpa mengabaikan keluarga tercinta.-Muslimah