Saban tahun, apabila menjelangnya bulan Ramadan, timbul pelbagai ‘fatwa’ di meja makan atau di ruangan sembang keluarga.
Antara yang paling kerap kedengaran ialah larangan mandi ketika waktu hampir berbuka.
Ada yang kata makruh, ada yang kata boleh membatalkan puasa, malah ada yang mengaitkannya dengan masalah kesihatan seperti paru-paru berair.
Pendakwah bebas, Ustaz Mohd. Khairi Mohd. Zain berkata, tiada dalil dalam Islam yang melarang umatnya mandi pada waktu petang atau ketika hampir berbuka puasa. Hukum asal bagi perbuatan ini adalah harus.
“Tanggapan mandi petang makruh sebenarnya lebih bersifat ‘pesanan orang tua-tua’ atau faktor budaya. Daripada sudut kesihatan tradisional, mandi lewat petang ketika badan sedang panas selepas seharian bekerja dianggap boleh mengejutkan sistem badan.
“Namun, daripada sudut hukum hakam puasa, ia tidak menjejaskan pahala mahupun sahnya puasa seseorang,” katanya kepada Muslimah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, seorang sahabat menceritakan:
“Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW ketika hari Saif menyiramkan air ke atas kepalanya sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa, kerana dahaga atau panas.” (HR Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan menyegarkan badan dengan air ketika sedang berpuasa bukan sahaja dibenarkan malah ia dilakukan sendiri oleh Baginda SAW untuk mengurangkan rasa bahang panas matahari.
Tambahnya, walaupun hukum mandi ketika berpuasa adalah harus, terdapat beberapa kaedah mandi yang perlu diberikan perhatian agar tidak mengundang risiko batal puasa.
“Para ulama berpandangan mandi dengan cara menyelam ke dalam kolam atau sungai adalah makruh bagi orang yang berpuasa.
“Hal ini kerana risiko air masuk ke dalam rongga terbuka (seperti hidung dan telinga) adalah sangat tinggi.
“Jika air masuk secara tidak sengaja ketika anda sedang menyelam, puasa boleh terbatal,” katanya.
Tambahnya, ketika mandi dan berwuduk, janganlah melakukan mubalaghah (berlebihan) dalam berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung.
“Islam itu agama yang memudahkan. Jika mandi petang dapat membantu kembali cergas untuk melaksanakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih dengan lebih khusyuk, maka ia adalah perkara yang baik,” jelasnya.
Keletihan melampau kadangkala boleh menyebabkan emosi tidak stabil atau malas beribadah. Maka, siraman air dingin di penghujung hari adalah terapi ringkas yang sangat membantu.-Muslimah