Beban berganda, burnout dan diskriminasi: Wanita bekerja perlu cuti penjagaan mandatori

Tanpa polisi fleksibel dan cuti penjagaan neutral gender, wanita terus memikul beban mental berganda yang menjadi punca burnout, kata pakar.

Fenomena burnout atau kelesuan dalam kalangan wanita bekerja bukan sekadar isu emosi semata-mata tetapi menjadi isu kesihatan awam dan hak asasi yang perlu diberi perhatian serius.

Timbalan Pengerusi Persatuan Gabungan Wanita Kedah (WANIDA), Profesor Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, kegagalan menangani burnout secara sistemik boleh dianggap sebagai pelanggaran komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), khususnya Artikel 11 yang menjamin hak wanita kepada perlindungan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

“Tekanan kerja kronik telah dibuktikan secara saintifik menjejaskan keseimbangan hormon, kesuburan, kitaran haid dan meningkatkan risiko komplikasi kehamilan serta kesihatan mental,” katanya kepada Muslimah.

Diskriminasi tidak langsung

Dr. Ummu Atiyah turut membangkitkan fenomena gender double standard di tempat kerja yang boleh diklasifikasikan sebagai diskriminasi tidak langsung mengikut piawaian CEDAW.

“Apabila wanita perlu bekerja dua kali lebih keras untuk dinilai setara dengan lelaki daripada segi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kenaikan pangkat atau penilaian prestasi, ini mewujudkan keadaan kerja yang secara sistemik merugikan wanita walaupun dasar kelihatan neutral di atas kertas,” katanya.

Katanya, antara contoh yang kerap berlaku, wanita dinilai kurang komited apabila mengambil cuti berkaitan penjagaan keluarga sedangkan lelaki tidak.

Wanita memikul tugas emosi dan pentadbiran tidak rasmi di tempat kerja tanpa pengiktirafan formal serta kesilapan kecil wanita dilihat sebagai kelemahan individu manakala kesilapan lelaki dianggap sebagai kes terpencil.

“CEDAW menegaskan kesaksamaan substantif bermaksud bukan sahaja layanan sama tetapi juga hasil yang adil. 

“Jika sistem kerja menghasilkan burnout yang tidak seimbang kepada wanita, ia boleh dikatakan sebagai bentuk diskriminasi struktur,” tegasnya.

Cuti penjagaan mandatori

Tambahnya, sudah tiba masa Malaysia memperkenalkan Cuti Penjagaan (Carer’s Leave) mandatori untuk lelaki dan wanita bagi menangani isu itu secara menyeluruh.

“Tanpa cuti penjagaan yang mandatori dan neutral gender, beban penjagaan akan terus dipikul oleh wanita sama ada menjaga anak, ibu bapa uzur atau ahli keluarga sakit. 

“Hal ini akan menyumbang kepada beban mental berlapis yang menjadi punca utama burnout wanita bekerja,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu selari dengan tuntutan kesaksamaan gender di bawah CEDAW dan telah dilaksanakan di pelbagai negara dengan pelbagai model mengikut kesesuaian masing-masing.

“Cuti penjagaan bukan isu kebajikan semata-mata tetapi alat dasar untuk membetulkan ketidaksamaan struktur.

“Malah inisiatif ini mampu membantu mencapai sasaran 60 peratus penglibatan wanita dalam pekerjaan seperti yang disasarkan kerajaan untuk dicapai pada 2030,” katanya.

Waktu kerja anjal

Mengulas mengenai isu waktu kerja anjal, katanyam ketiadaan polisi itu boleh dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi gender secara halus.

Walaupun Akta Pekerjaan 1955 telah memperkenalkan peruntukan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) berkuat kuasa 1 Januari 2023, masih terdapat sektor tertentu yang enggan menawarkan fleksibiliti waktu kerja walaupun ia boleh dijalankan.

“Apabila sektor tertentu enggan menawarkan fleksibiliti waktu kerja walaupun tiada kekangan di tempat dan sifat kerja membenarkan, tindakan majikan tersebut boleh dianggap sebagai diskriminasi bukan sahaja terhadap pekerja tetapi juga diskriminasi gender kerana beban penjagaan sosial masih tidak seimbang,” katanya.

Jelasnya, hal ini akan meletakkan wanita pada kedudukan yang lebih terpinggir untuk kekal dalam pasaran kerja, menaiki tangga kerjaya dan menyertai latihan atau jawatan kepimpinan.

Akta kesaksamaan gender 

Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan pengenalan kerangka undang-undang kesaksamaan gender atau Akta Kesaksamaan Gender sebagai perubahan perundangan paling mendesak untuk menghentikan burnout sebagai norma wanita bekerja.

“Walaupun Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang sektoral seperti Akta Kerja dan Akta Keganasan Rumah Tangga, tiada satu pun yang menangani diskriminasi gender secara menyeluruh,” ujarnya.

Kesaksamaan gender mesti ditangani secara menyeluruh dan bukan terpisah-pisah mengikut sektor.

“Akta Kesaksamaan Gender ini berpotensi bertindak sebagai kerangka payung yang menyatukan prinsip kesaksamaan, menjadi rujukan kepada semua undang-undang lain dan boleh mengelak fragmentasi dasar.

“Akta ini mampu menyumbang kepada pencapaian kualiti hidup masyarakat yang lebih baik untuk lelaki dan wanita serta menghasilkan keberhasilan terbaik kepada negara dan wanita,” katanya.-Muslimah