Bangkit dari duka, Asha wujudkan komuniti wanita sihat

Rasa kehilangan bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi, apatah lagi apabila ia datang bertubi-tubi. 

Itulah realiti pahit yang pernah dilalui oleh Siti Aishah Saaharatol Mat Kamal apabila diuji dengan keguguran, pemergian bapa mentua yang sangat rapat di hati serta kehilangan kucing kesayangan yang dijaga penuh kasih selama sembilan tahun. 

Setiap satu meninggalkan luka meruntun jiwa seorang wanita.

Namun, wanita yang mesra disapa Asha ini memilih untuk tidak terus tenggelam dalam kesedihan. 

Bagi mencari ketenangan dan kekuatan dalaman, beliau mula melakukan aktiviti berjalan kaki. Pada mulanya, ia sekadar untuk menenangkan fikiran. 

Tetapi semakin lama, Asha sedar wanita memerlukan wanita lain untuk berkongsi cerita, memahami perasaan dan saling menguatkan.

Daripada kesedaran itulah tercetus idea untuk mewujudkan sebuah komuniti wanita yang bukan sahaja menekankan gaya hidup sihat, tetapi juga menjadi ruang sokongan emosi. 

Lahirnya Sole Sisters KL, sebuah komuniti yang menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang untuk bergerak, berbual dan bangkit bersama.

Kini, selepas setahun ditubuhkan, Sole Sisters KL telah menghimpunkan lebih 300 ahli yang terdiri daripada pelajar, wanita bujang, berkahwin dan ibu tunggal. 

Asha pula muncul sebagai antara figura penting yang menggerakkan gelombang gaya hidup sihat dalam kalangan Muslimah di ibu kota. 

Namanya semakin dikenali, bukan sahaja kerana komitmennya terhadap kecergasan, tetapi juga keberaniannya memecahkan stigma wanita berhijab perlu kekal dalam zon selesa.

Menurut Asha, usaha menyembuhkan duka akhirnya berkembang menjadi ruang selamat untuk wanita lain berkongsi cerita dan mencari kekuatan bersama. 

Keistimewaan Sole Sisters KL terletak pada kefleksibelan dan keterbukaannya. 

Komuniti ini tidak terhad kepada aktiviti berjalan kaki semata-mata, sebaliknya turut menawarkan pilates, yoga, sesi perkongsian emosi serta aktiviti santai.

“Sole Sisters KL terbuka untuk sebarang bentuk kerjasama selagi ia memberi fokus kepada wanita,” katanya kepada Muslimah.

Melalui platform ini, Asha mencipta persekitaran yang selesa buat Muslimah untuk bersukan tanpa rasa kekok atau dihakimi. 

Sole Sisters KL bukan sekadar tempat untuk berlari atau bersenam bersama tetapi berkembang menjadi sistem sokongan yang memperkasa emosi dan kesihatan mental wanita. 

Ramai ahli yang sebelum ini ragu-ragu untuk memulakan senaman kini berani melangkah keluar dari zon selesa dan berbangga dengan pencapaian diri masing-masing.

Asha juga menekankan nilai persaudaraan, di mana setiap usaha dan kemajuan diraikan tanpa mengira tahap kecergasan atau latar belakang.

Sopan tetapi bergaya

Satu lagi sisi Asha yang sering menjadi perhatian ialah keupayaannya memadankan pakaian sukan patuh syariah dengan gaya yang moden dan sofistikated. 

Beliau kerap menjadi rujukan Muslimah yang mahu kekal sopan ketika bersukan tanpa mengorbankan fungsi dan keselesaan pakaian.

Bagi Asha, kesopanan bukan penghalang untuk aktif sebaliknya, ia adalah identiti yang dibawa dengan penuh keyakinan dan rasa bangga sebagai seorang Muslimah.

Inspirasi masa depan

Sebagai ibu kepada dua orang anak, Asha menyimpan harapan besar untuk melihat lebih ramai Muslimah bangkit dan menyedari potensi diri melalui kecergasan fizikal dan kekuatan mental. 

Beliau percaya wanita yang sihat dan kuat mampu memberi impak positif kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.-Muslimah