Ada yang dipermudahkan bertemu jodoh, ada juga yang diuji berkali-kali sebelum melangkah ke fasa pernikahan.
Namun dalam setiap ujian yang datang, pasti terselit hikmah yang tidak selalu mampu kita fahami pada awalnya.
Begitulah kisah seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Bella (bukan nama sebenar).
Dia berkongsi pengalaman pahit apabila bekas tunangnya bertunang dengan wanita lain pada hari yang sepatutnya menjadi hari pernikahan mereka.
Menurut perkongsiannya di Threads, 15 Februari sepatutnya menjadi detik paling bermakna untuk disatukan dengan jejaka pilihan hati.
Segala perancangan telah dibuat rapi, malah beberapa persiapan penting sudah diselesaikan lebih awal demi memastikan majlis berjalan lancar.
Namun takdir menentukan sebaliknya. Pada tarikh sama yang sepatutnya menyaksikan akad nikah mereka, lelaki tersebut rupa-rupanya melangsungkan pertunangan dengan wanita lain.
“Kalau ikut perancangan asal, 15 Februari itu hari pernikahan kami. Tetapi pada tarikh yang sama, dia bertunang dengan orang lain. Saya sendiri tidak tahu di mana mahu letakkan perasaan saya,” tulisnya.
Lebih memilukan, Bella mengakui sanggup mendahulukan wang sendiri untuk menampung beberapa keperluan penting majlis.
Pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan itu akhirnya seolah-olah tidak membawa sebarang makna.
“Saya sanggup keluarkan duit dahulu untuk urusan-urusan penting. Tiba-tiba semuanya jadi seperti ini. Sampai sekarang saya masih tidak faham kenapa perkara ini berlaku,” luahnya.
Menurut Bella, sebelum hubungan itu berakhir, dia sudah dapat merasakan perubahan sikap lelaki berkenaan.
Setiap kali berlaku pertengkaran, panggilan dan mesejnya tidak lagi dibalas seperti dahulu.
Usahanya untuk berbincang secara baik juga terhenti apabila keluarga lelaki tersebut meminta dia tidak datang berjumpa, kononnya bimbang anak mereka akan ‘lari’.
Tidak lama kemudian, barulah kebenaran terbongkar. Lelaki itu sebenarnya telah menjalinkan hubungan dengan seorang kenalan keluarga sendiri sebelum mereka akhirnya mengikat tali pertunangan.
Di sebalik pengkhianatan yang merobek hati itu, ada satu hakikat yang lebih menyentuh jiwa.
Ketika semua ini berlaku, Bella sebenarnya masih dalam fasa berduka akibat kehilangan ibunya. Lelaki yang pernah dianggap sebagai tempat bergantung selepas pemergian insan tersayang, akhirnya turut pergi meninggalkannya.
“Saya bukan tidak boleh move on, tetapi sakitnya bila orang yang kita percaya buat begini, sedangkan dia tahu saya baru kehilangan ibu,” luahnya penuh kecewa.-Muslimah