Ramai menyangka wajah berseri hanya boleh dicapai menerusi rawatan spa mahal atau penggunaan produk penjagaan kulit berjenama.
Hakikatnya, kecantikan sebenar bermula daripada rutin harian ringkas namun konsisten.
Perubahan kecil dalam gaya hidup mampu memberikan impak yang besar kepada penampilan wajah.
Jom semak lima tabiat mudah yang boleh diamalkan bermula hari ini bagi mendapatkan kulit wajah lebih sihat dan berseri.
Mulakan pagi dengan air suam
Mulakan hari dengan segelas air suam yang diberi sedikit perahan lemon. Amalan ini membantu sistem pencernaan serta menyingkirkan toksin dalam badan.
Apabila dalaman bersih, kulit wajah secara automatik kelihatan lebih segar dan tidak kusam.
Cucian berganda setiap malam
Aktiviti harian di luar menyebabkan kulit muka terdedah dengan pelbagai kotoran dan debu sehingga menyebabkan liang pori kulit tetap tersumbat walaupun tidak memakai solekan.
Amalkan teknik cuci muka dua kali (double cleansing) selepas melakukan kegiatan harian.
Gunakan pembersih muka berasaskan minyak terlebih dahulu diikuti dengan pembersih muka berasaskan air.
Kaedah ini memastikan segala kotoran dibersihkan sepenuhnya sekaligus mengelakkan masalah jerawat dan kulit kusam.
Pelembap dan pelindung matahari
Pastikan pelindung matahari sentiasa ada dalam rutin penjagaan kulit harian. Cuaca panas di Malaysia adalah salah satu musuh utama kulit.
Sapuan pelindung matahari (sunscreen) wajib kerana bukan sahaja dapat mengelakkan jeragat malah mengekalkan tona kulit sekata agar wajah sentiasa nampak segar.
Urutan wajah lima Minit
Lakukan urutan ringan pada wajah selama lima minit semasa menyapu serum atau minyak.
Urutan wajah ke arah atas membantu melancarkan peredaran darah selain memberikan efek tegang.
Teknik ini menjadikan wajah nampak lebih anjal dan berseri secara semula jadi keesokan harinya.
Tidur berkualiti, bukan sekadar cukup
Hadkan penggunaan telefon bimbit sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur untuk mendapatkan kualiti tidur lebih baik. Sel kulit akan melakukan proses regenerasi ketika tidur.
Kulit yang mendapat rehat secukupnya akan kelihatan lebih bermaya tanpa lingkaran hitam di bawah mata.
Tip ekstra: Konsistensi adalah kunci. Jangan harapkan perubahan dalam masa satu malam tetapi jadikan lima perkara ini sebagai rutin harian yang dapat mengubah kesihatan kulit.