4 tanda ibu hamil, menyusu perlu segera berbuka

Ramadan sering dinanti dengan penuh rasa syukur, termasuk oleh ibu hamil dan ibu menyusu yang ingin berpuasa bersama keluarga.

Namun, dalam keinginan merebut pahala, aspek keselamatan diri dan bayi tidak boleh diketepikan. 

Islam tidak pernah membebankan hambaNya, malah menyediakan keringanan (rukhsah) apabila wujud risiko mudarat.

Memahami hukum berkaitan puasa penting agar ibu tidak berasa ragu atau bersalah sekiranya terpaksa berbuka demi kesihatan.

Hukum puasa bagi wanita hamil dan menyusu

Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, puasa Ramadan wajib ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat iaitu Islam, baligh, berakal, sihat, mampu dan bermukim.

Namun, wanita hamil dan menyusu diharuskan berbuka sekiranya bimbang berlaku mudarat berdasarkan keadaan kesihatan masing-masing.

Sekiranya kebimbangan melibatkan diri sendiri atau diri dan bayi, ibu hanya perlu menggantikan puasa (qad a) pada hari lain.

Jika risiko hanya melibatkan bayi, ibu perlu menggantikan puasa serta membayar fidyah iaitu memberi makan kepada fakir miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Keringanan ini menunjukkan bahawa menjaga nyawa dan kesihatan adalah keutamaan dalam syariat. Justeru, ibu tidak perlu memaksa diri sehingga memudaratkan kandungan atau bayi.

Tanda perlu segera berbuka

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan ibu hamil dan menyusu supaya peka terhadap beberapa tanda kecemasan yang memerlukan segera berbuka.

  1. Bayi kurang bergerak

Pergerakan bayi merupakan petunjuk penting kesejahteraan dalam kandungan.

Apabila paras gula darah ibu menurun ketika berpuasa, bayi mungkin mengurangkan pergerakan sebagai tindak balas terhadap kekurangan tenaga.

Jika ibu merasakan pergerakan bayi semakin lemah atau berkurangan secara mendadak, segera berbuka dengan minuman manis dan dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan.

  1. Pitam, menggigil dan berpeluh sejuk

Ibu mengandung  juga perlu berwaspada sekiranya mengalami pitam, menggigil atau berpeluh sejuk.

Keadaan ini boleh menandakan hipoglisemia iaitu paras gula darah terlalu rendah, antara simptomnya termasuk pandangan kabur, tangan menggigil dan rasa lemah melampau.

Risiko jatuh ketika hamil boleh memberi kesan serius kepada kandungan. Oleh itu, jangan tangguhkan makan atau minum apabila tanda-tanda ini muncul.

  1. Kontraksi sebelum cukup bulan

Dehidrasi yang berpanjangan boleh mencetuskan kontraksi atau rasa seperti senggugut sebelum usia kandungan cukup bulan.

Kekurangan air dalam badan boleh merangsang pengecutan rahim, jika perut terasa mengeras berulang kali atau sakit luar biasa, ibu perlu segera berbuka dan minum air secukupnya.

Dapatkan rawatan segera sekiranya kontraksi berterusan.

  1. Dehidrasi teruk dan susu merudum

Bagi wanita yang menyusu, keperluan cecair adalah lebih tinggi kerana tubuh perlu menghasilkan susu untuk bayi.

Tanda dehidrasi teruk termasuk sakit kepala berdenyut, bibir merekah, air kencing sedikit serta berwarna pekat.

Wanita juga perlu peka jika penghasilan susu merudum secara mendadak sehingga bayi kurang kencing atau lampin kekal kering lebih lama daripada biasa.

Dalam situasi ini, keutamaan mesti diberikan kepada kesihatan ibu dan bayi dengan segera berbuka, berehat dan memastikan hidrasi mencukupi.-Muslimah

TAGGED: