Dari luaran, wanita ini kelihatan cukup ayu dan menawan.
Namun, disebalik wajah ayu itu tersembunyi jiwa yang tegas dan berani mengambil risiko demi memperjuang kemanusiaan dan agama Islam.
Tidak pernah gentarkah ‘menyerah diri’ dengan memasuki negara yang sedang berperang?
Jawab Hazwani Helmi, keyakinan amalan sentiasa memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dalam diri mangsa-mangsa, membuatkan Hazwani bertambah semangat dan tidak gentar untuk menjalankan misi kemanusiaan.
Katanya, setiap misi kemanusiaan yang disertai sama ada bencana, perang dan sebagainya mempunyai cabaran masing-masing.
Namun, sebagai seorang muslimah, Hazwani tidak pernah berputus asa untuk berdoa kepada Allah bagi memohon perlindungan dan dipermudahkan misi kemanusiaan yang dijalani.
Amalan tersebut membuatkan beliau memperoleh ketenangan dan hilang perasaan takut ketika menjalankan misi.
Bagi Hazwani atau nama sebenarnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, jihad bukan sekadar berperang di medan tempur sebaliknya usaha bersungguh-sungguh menegakkan kebenaran dan menyebarkan kebaikan.
Menggunakan platform sebagai pempengaruh, pengacara dan penyanyi Islamik ini menganggap setiap pentas adalah medan dakwah, setiap ucapan adalah amanah dan setiap karya senjata dalam perjuangan menegakkan nilai-nilai murni.
Pengajaran berharga daripada mangsa bencana
Tangisan meminta tolong mangsa yang terperangkap dalam mendapan tanah akibat gempa bumi paling kuat di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia beberapa tahun lalu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya.
Masih terakam jelas dalam memorinya, mangsa-mangsa yang masih hidup tertimbus dalam salutan lumpur yang pekat bersama serpihan bangunan hancur menyebabkan mereka tidak dapat diselamatkan.
Suara merayu meminta tolong itu amat meruntun hatinya kerana tiada apa yang dapat dilakukan memandangkan bencana yang berlaku terlalu dahsyat.
Begitupun, peristiwa menyayat hati itu tidak sedikitpun mematahkan semangat beliau, sebaliknya menanam azam untuk lebih banyak melakukan aktiviti kemanusiaan bagi membantu mangsa bencana.
Kata wanita berusia 28 tahun ini, kakaknya, Datin Seri Heliza Helmi, 39, merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam dunia aktivis kemanusiaan dan jihad.
Berkongsi cerita mengenai kali pertama kakaknya mengambil keputusan untuk menyertai misi amal di Gaza, beliau dan ahli keluarganya pada awalnya berasa bimbang akan keselamatan Heliza.
Namun, kakaknya menasihati keluarga untuk tidak takut sekiranya beliau menemui ajal ketika menjalankan misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak itu, kerana dalam Islam menyatakan kematian itu pasti.
Katanya, kakaknya berfikiran alangkah baik ajal tiba ketika sedang memberi kebaikan, daripada hidup panjang tapi tanpa makna dan halatuju.
“Segala kekhuatiran kami tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus membantu mangsa-mangsa tragedi, baik bencana alam mahupun konflik di negara-negara yang sedang bergolak.
“Walaupun nyawa seolah-olah berada di hujung tanduk, beliau tetap bersemangat teguh untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurut Hazwani, keyakinan kakaknya itu berjaya menyemai keinginan dalam hati kecilnya untuk turut sama berjuang dalam aktiviti berkaitan sukarelawan dan membantu umat Islam.
Perjuangan untuk terus hidup
Dua pasang matanya banyak menyaksikan ketidakadilan, keseksaan dan kemiskinan dihadapi mangsa-mangsa peperangan mahupun bencana alam sepanjang menjalankan misi kemanusiaan.
Sementelah, banyak juga pengajaran yang diperoleh daripada mangsa-mangsa bencana di sebalik kekacauan yang berlaku.
Katanya, walaupun berada dalam keadaan yang sangat terdesak, mangsa-mangsa di Gaza misalnya, tidak berputus asa, namun terus mencari jalan untuk bertahan hidup.
“Ketiadaan sumber air bersih dan bekalan elektrik yang sengaja diputuskan oleh Israel telah menyebabkan kesulitan yang amat besar kepada penduduk Gaza.
“Keadaan yang begitu mencabar tersebut malah berjaya memacu mereka untuk menghasilkan kreativiti yang luar biasa dengan mencipta inovasi dan penyelesaiannya melalui barang terpakai,” ujarnya.
Apa yang dilihat, mangsa-mangsa di negara yang bergolak merupakan insan yang sangat bersyukur dengan apa yang mereka ada.
“Pernah suatu ketika ketika menyertai misi kemanusiaan di negara-negara berkenaan, kami disambut, malah dirai dengan sangat baik.
“Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa harta, namun tetap berkongsi dengan kami. Contohnya, kami diberikan air masak sedangkan mangsa-mangsa ini amat memerlukan keperluan tersebut,” katanya.
Nyanyi sambil berdakwah
Hazwani turut memanfaatkan kerjayanya yang juga sebagai seorang penyanyi untuk menyebar mesej-mesej positif selari dengan ajaran Islam.
Dalam setiap lirik yang ditulis dan dinyanyikan, beliau tidak lupa menyelitkan nilai-nilai kesederhanaan, keimanan dan perjuangan dalam menghadapi dugaan hidup.
Lagu-lagu yang diciptakan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi mengajak pendengar untuk merenung dan berfikir tentang makna kehidupan yang lebih besar.
Beliau turut memanfaatkan media sosial untuk berdakwah serta mengadvokasi pelbagai isu penting.
Hazwani mengambil kesempatan untuk menyuarakan ketidakadilan konflik peperangan sehingga menjadikan rakyat menerima tempias besar.
Perjuangannya untuk terus mempertahankan hak rakyat di Palestin, tidak pernah pudar sehingga kini.
Justeru, langkah beliau sedikit sebanyak membuahkan hasil membangunkan komuniti Muslim untuk saling menguat dan mendorong satu sama lain.
Memanfaatkan jumlah pengikut di media sosial, Hazwani turut menjadikannya sebagai platform untuk mendapatkan bantuan bagi membantu mangsa bencana alam dan perang.
“Daripada berkongsikan hal-hal negatif, adalah lebih untuk kita memanfaatkan teknologi dan gajet terkini untuk menyebarkan sesuatu yang lebih bermanfaat.
“Lebih-lebih lagi pada bulan Syaban ini sebelum memasuki Ramadan, saya ingin menyeru agar kita dapat berjihad walaupun berkonsepkan digital dan moden,” katanya.
Teroka dunia filem
Hazwani juga turut berkongsikan beliau mempunyai perancangan untuk bekerjasama penerbit filem.
Keputusannya untuk menjalinkan kerjasama tersebut, adalah bagi merealisasikan impiannya untuk menghasilkan sebuah penceritaan bertemakan kemanusiaan.
Katanya, dunia lakonan dan perfileman memerlukan lebih banyak naskhah yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi pengajaran penting kepada penonton.
“Saya selalu percaya bahawa bidang seni ini merupakan satu medium dakwah dan pendidikan. Filem mampu membuka mata ramai tentang isu-isu kemanusiaan yang sering dipandang remeh,” katanya.-Muslimah